Rumah Panjang Melanau Islam Terakhir Di Sarawak




 Papan tanda ini bermaksud: 'Selamat Datang Ke Rumah Panjang Kampung Sok'

Kaum Melanau di Sarawak terkenal dengan keunikan Lebuk Regau Melanau (bermakna Rumah Tinggi Melanau) yang mempunyai ketinggian luarbiasa iaitu dari 40 kaki (12 meter) ke atas. Ditambah pula dengan bahan binaannya yang kukuh seperti Kayu Belian (Ironwood) & sebagainya. Namun kebanyakan penduduknya sudah tinggal dalam rumah bercirikan konsep tradisional Melayu Sarawak & Brunei. Replika asal Rumah Tinggi Melanau pada zaman sekarang boleh disaksikan di Kampung Budaya Sarawak. Mungkin saya akan ceritakan pasal Rumah Tinggi lebih lanjut lagi lain kali ya. hehe!

Sebab kali ini, saya nak fokuskan pada design rumah Kaum Melanau sebelum Rumah Tinggi mulai direka, iaitu Rumah Panjang Melanau. Kini hanya tinggal satu saja di Sarawak, yang terakhir, dan mungkin akan pupus sekiranya tak dijaga dengan baik.


Rumah Panjang Melanau Islam di Kampung Sok terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Sekaan dan satu-satunya rumah panjang Melanau yang ada di negara ini. Rumah panjang sering dikaitkan dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Bagaimanapun, rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga ke hari ini membuktikan, rumah berkenaan juga dimiliki oleh masyarakat lain di negeri Sarawak. 


Di Kampung Budaya Sarawak, Kuching. Identiti kaum Melanau cuma ditonjolkan melalui pembinaan Rumah Tinggi dan mempunyai tiang sebesar satu pemeluk. Tetapi rumah panjang Melanau di Kampung Sok membuktikan kaum ini telah mempunyai rumah panjang sejak mula kewujudan kampung ini pada tahun 1872.


Bermula dengan empat pintu, keluasan rumah ini telah diperbesarkan sehingga memiliki 26 pintu pada tahun 1888. Pada asalnya, struktur asas rumah panjang ini diperbuat dari Kayu Belian dan atapnya pula menggunakan daun Rumbia atau Pokok Sagu. Kewujudan rumah panjang Melanau yang terletak tak jauh dari Kampung Sekaan & Jemoreng, membuktikan proses asimilasi masyarakat di seluruh negeri Sarawak telah wujud sejak zaman berzaman. Boleh dikatakan, rumah panjang Melanau dibina dengan meniru gaya kehidupan masyarakat Iban yang mendiami di kebanyakan bahagian di Negeri Sarawak.


Meskipun keadaannya semakin uzur, rumah panjang Melanau Islam di Kampung Sok masih dihuni oleh sembilan buah keluarga. Disebabkan keunikannya, rumah panjang ini telah tersenarai antara 11 produk pelancongan di Bahagian Mukah. Pada tahun 1987, Jabatan Muzium Sarawak mengisytiharkan rumah ini sebagai salah satu warisan yang perlu dikekalkan. Ia bertujuan agar generasi akan datang mengetahui serba sedikit sejarah masyarakat tempatan di Sarawak.


Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok, diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sarawak dan kerja-kerja ubahsuai perlu mendapat kebenaran daripada Pengarah Jabatan Muzium Sarawak. Disebabkan keunikannya, rumah panjang masyarakat Melanau ini sentiasa dikunjungi oleh pelawat sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Dalam masa setahun, dianggarkan pelawat yang mengunjungi rumah ini melebihi 2,000 orang.

Pemandangan kampung saya, Kampung Sekaan suatu masa dulu

Oleh itu, jika ada sesiapa yang nak bercuti di Sarawak, singgah la sebentar ke Rumah Panjang Kampung Sok ini. 
Sebelum ia pupus ditelan zaman dan anda mungkin tak berkesempatan untuk melihatnya lagi selepas itu. One & Only In Sarawak.

Kerajaan Malano: The Lost Kingdom Of Malano


Rumah Tinggi Melanau

Setiap kaum-kaum di Sarawak mesti ada sejarah peradaban yang tersendiri. Begitu juga kaum Melanau yang menjadi antara kaum yang terawal berada di Sarawak. Dipercayai mempunyai sebuah negara yang mengamalkan sistem monarki bernama Kerajaan Malano.
Dalam Sarawak pun ada negara? Well, pada masa itu, Sarawak pun belum ada nama lagi.
Tanpa membuang masa, mari kita kongsi sikit tentang kerajaan yang sudah lenyap nie.

Di dalam pencarian negara yang hilang di Sarawak, terdapat sebuah negara yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan cerita Datu Godam mahupun Datu Merpati Jepang tetapi mempunyai sejarah yang tersendiri tetapi masih lagi mempunyai politi yang berkesinambungan daripada pemerintahan Brunei. Walaupun tiada artifak-artifak sejarah yang boleh membenarkan bahawa wujudhnya sebuah kerajaan bergelar Malano tetapi jika merujuk kepada dokumen-dokumen dan jurnal-jurnal pengembaraan sejarah ternyata kewujudan peradapan bernama Malano telah lama ada di bumi Sarawak suatu waktu dahulu iaitu sebelum kedatangan James Brooke lagi. 

Politi kerajaan yang hilang ini terletak di Kuala Sungai Rejang, iaitu sungai selepas Sungai Kalaka. Jika dilihat kepada kewujudan nama Melanau itu sendiri mengikut sejarahnya adalah diberikan oleh Sultan Brunei keatas satu masyarakat yang menggelar diri mereka Likao iaitu masyarakat yang tinggal di persisiran Sungai Rejang. Kewujudan politi kerajaan ini dikatakan telah wujud sejak kurun Ke-13 lagi. Berkemungkinan besar Tugau iaitu seorang raja yang penuh dengan kesaktian itu adalah raja pemerintah kepada kerajaan negeri melano ini yang pertama. Ini dapat disahihkan di dalam manuskrip sejarah kerajaan Brunei yang menyatakan bahawa di awal pemerintahan raja pertama Kerajaan Bo-ni iaitu sewaktu kemerosotan pengaruh kerajaan Majapahit ke atas wilayah di Borneo sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Shah iaitu sultan yang pertama Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei, wilayah Tutong yang ketika itu dibawah pentadbiran pembesar kerajaan Melanau iaitu Mawanga telah diserang oleh orang-orang kanan Sultan iaitu Awang Semaun, Awang Jeramabak dan Pateh Damang Sari. Pertempuran untuk perluasan kuasa Kerajaan Brunei ini telah juga sampai sehingga ke Igan iaitu satu lagi jajahan Kerajaan Melano dibawah Basiung iaitu ipar kepada Raja Tugau. Walau bagaimanapun, Basiung dan Raja Tugau yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Sambas dan juga jajahannya yang lain tidak dapat menandingi jumlah tentera pimpinan Awang Semaun ini ditambahlagi kerajaan Brunei telah mendapat sokongan daripada masyarakat Iban Sarawak yang mengambil peluang untuk menjalankan tradisi ngayau kepada masyarakat Melanau pada waktu itu. Setelah kekalahan di dalam pentempuran itu maka banyak wilayah Kerajaan Melano telah jatuh kepada kerajaan Kesultanan Brunei selepas itu. 
 Jerunai

Satu lagi manuskrip kuno yang membenarkan bahawa ada satu kerajaan wujud satu ketika dahulu adalah ianya tertulis di manuskrip sejarah kuno Nagarakertagama yang ditulis pada tahun 1365. Di dalam manuskrip ini menyatakan ketika zaman kerajaan Majapahit mencapai puncak kegemilangannya iaitu sewaktu Hayam Wuruk memerintah ada menyebut Malano dan Brunei sebagai sebahagian daripada pembayar ufti kepada kerajaan Majapahit tersebut. Jika Malano membayar ufti bermakna Malano bukanlah satu jajahan kecil sebaliknya sebagai sebuah kerajaan besar yang mencakupi beberapa jajahan kecil yang lain. 

Jika dilihat daripada konteks jurnal-jurnal pengembaraan kuno sememangnya banyak tercatat bahawa Malano adalah sebuah peradapan suatu ketika dahulu. Catalan Atlas yang diwartakan pada tahun 1375 ada menunjukkan peta Kerajaan Malano di dalamnya malah ianya disahihkan di dalam peta orang Portugis yang menyatakan bahawa wujud sebuah politi bernama Malao di dalam peta pengembaraan mereka. Manakala di Florence, Italy sebuah peta lama bertarikh 1595 ada mencatatkan bahawa kawasan persisiran barat Sarawak yang kini dikenali sebagai daerah Oya, Balingian dan Daerah Mukah juga ditandakan sebagai Malano. Malah ada rekod di dalam jurnal pengembaraan Negara Tembok Besar China iaitu Nan-hai-chih ada menyebut Achen atau Igan sebagai sebuah peradapan suatu ketika dahulu dan membuktikan bahawa saudagar-saudagar China juga pernah berkunjung ke Kerajaan Negeri Malano untuk berurusniaga. 

Berdasarkan kepada manuskrip kuno Nagarakertagama serta atlas dan peta-peta pengembaraan kuno serta sejarah yang mengaitkan Malano dengan kesultanan Brunei maka sukar dinafikan sememangnya bahawa Kerajaan Malano ini adalah The Lost Kingdom Of Sarawak suatu waktu dahulu. Masyarakat Melanau yang mempunyai sosia budaya tersendiri yang sekarang ini mendiami dengan ramainya di wilayah persisiran barat Sarawak berkemungkinan besar adalah kesinambungan daripada warisan keturunan rakyat Kerajaan Negeri Malano pada zaman dahulu. 

Inilah paparan untuk siri The Lost Kingdom of Sarawak - Kerajaan Negeri Malano pada kali ini. Sekiranya ada pembaca Borneo Oracle yang mempunyai informasi yang lebih jitu dan konkrit maka diharap dapat berkongsi ilmu pengetahuan sejarah ini bagi melengkapkan lagi pencarian daripada Borneo Oracle. Sharing Is Caring. 
Eh...yang nie sapa plak nie? hehe.. *hiasan semata-mata...XD

Sumber: Borneo Oracle ♥ Sarawak History