Rumah Panjang Melanau Islam Terakhir Di Sarawak




 Papan tanda ini bermaksud: 'Selamat Datang Ke Rumah Panjang Kampung Sok'

Kaum Melanau di Sarawak terkenal dengan keunikan Lebuk Regau Melanau (bermakna Rumah Tinggi Melanau) yang mempunyai ketinggian luarbiasa iaitu dari 40 kaki (12 meter) ke atas. Ditambah pula dengan bahan binaannya yang kukuh seperti Kayu Belian (Ironwood) & sebagainya. Namun kebanyakan penduduknya sudah tinggal dalam rumah bercirikan konsep tradisional Melayu Sarawak & Brunei. Replika asal Rumah Tinggi Melanau pada zaman sekarang boleh disaksikan di Kampung Budaya Sarawak. Mungkin saya akan ceritakan pasal Rumah Tinggi lebih lanjut lagi lain kali ya. hehe!

Sebab kali ini, saya nak fokuskan pada design rumah Kaum Melanau sebelum Rumah Tinggi mulai direka, iaitu Rumah Panjang Melanau. Kini hanya tinggal satu saja di Sarawak, yang terakhir, dan mungkin akan pupus sekiranya tak dijaga dengan baik.


Rumah Panjang Melanau Islam di Kampung Sok terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Sekaan dan satu-satunya rumah panjang Melanau yang ada di negara ini. Rumah panjang sering dikaitkan dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Bagaimanapun, rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga ke hari ini membuktikan, rumah berkenaan juga dimiliki oleh masyarakat lain di negeri Sarawak. 


Di Kampung Budaya Sarawak, Kuching. Identiti kaum Melanau cuma ditonjolkan melalui pembinaan Rumah Tinggi dan mempunyai tiang sebesar satu pemeluk. Tetapi rumah panjang Melanau di Kampung Sok membuktikan kaum ini telah mempunyai rumah panjang sejak mula kewujudan kampung ini pada tahun 1872.


Bermula dengan empat pintu, keluasan rumah ini telah diperbesarkan sehingga memiliki 26 pintu pada tahun 1888. Pada asalnya, struktur asas rumah panjang ini diperbuat dari Kayu Belian dan atapnya pula menggunakan daun Rumbia atau Pokok Sagu. Kewujudan rumah panjang Melanau yang terletak tak jauh dari Kampung Sekaan & Jemoreng, membuktikan proses asimilasi masyarakat di seluruh negeri Sarawak telah wujud sejak zaman berzaman. Boleh dikatakan, rumah panjang Melanau dibina dengan meniru gaya kehidupan masyarakat Iban yang mendiami di kebanyakan bahagian di Negeri Sarawak.


Meskipun keadaannya semakin uzur, rumah panjang Melanau Islam di Kampung Sok masih dihuni oleh sembilan buah keluarga. Disebabkan keunikannya, rumah panjang ini telah tersenarai antara 11 produk pelancongan di Bahagian Mukah. Pada tahun 1987, Jabatan Muzium Sarawak mengisytiharkan rumah ini sebagai salah satu warisan yang perlu dikekalkan. Ia bertujuan agar generasi akan datang mengetahui serba sedikit sejarah masyarakat tempatan di Sarawak.


Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok, diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sarawak dan kerja-kerja ubahsuai perlu mendapat kebenaran daripada Pengarah Jabatan Muzium Sarawak. Disebabkan keunikannya, rumah panjang masyarakat Melanau ini sentiasa dikunjungi oleh pelawat sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Dalam masa setahun, dianggarkan pelawat yang mengunjungi rumah ini melebihi 2,000 orang.

Pemandangan kampung saya, Kampung Sekaan suatu masa dulu

Oleh itu, jika ada sesiapa yang nak bercuti di Sarawak, singgah la sebentar ke Rumah Panjang Kampung Sok ini. 
Sebelum ia pupus ditelan zaman dan anda mungkin tak berkesempatan untuk melihatnya lagi selepas itu. One & Only In Sarawak.

Comments

Popular Posts