MV Pulau Kidjang Dalam Kenangan (Part 2)


Pukul 3 pagi.


Dalam pekat kegelapan awal pagi.
Ratusan jiwa telah pun tiada...

Mangsa-mangsa yang terselamat ditemui oleh anak-anak kapal MV Hornbill, kapal yang mengangkut muatan kayu balak yang kebetulan menuju ke Pekan Selalang yang tak jauh dari Sarikei.

Setelah mendapat panggilan kecemasan dari MV Hornbill. Polis Marin, Tentera, Navy bergegas menuju ke lokasi kejadian di Tanjung Jerijeh, kira-kira 3.5 batu nautika dari Sarikei Barat. Namun segala-galanya sudah terlambat. Kebanyakan penumpang sudah mati lemas, ada juga yang hilang dibawa arus gelombang, ada yang mati lemas terperangkap dalam kapal. Namun mereka sama sekali tak berputus-asa mencari tanda-tanda mangsa yang terselamat. Walaupun apa yang kelihatan di depan mata, hanyalah jasad-jasad yang tak bernyawa terapung-apung di merata-rata tempat. Terlalu banyak mayat. Lebih kurang 121 mangsa didapati mati lemas (termasuk hilang). Jumlah yang terselamat hanya 38 orang dari 159 orang penumpang sebelum tragedi itu berlaku.

Untuk mengangkat mayat-mayat itu sekaligus ke dalam bot tentera adalah mustahil. Tiada cara lain, terpaksa menggunakan helikopter. Juruterbang helikopter menyaksikan ratusan mayat terapung-apung dimana-mana saja dari udara. Pemandangan yang agak menyedihkan. Hati siapa yang tak terguris melihat mayat-mayat yang terdiri dari ahli keluarga yang rata-ratanya orang tua, kanak-kanak dan banyak lagi. Mayat-mayat mangsa terpaksa dimasukkan ke dalam jaring ikan dan jaring itu akan diangkut menggunakan helikopter menuju ke Sarikei. Helikopter hanya dapat mengangkut puluhan mayat saja dalam satu-satu masa. Ini bermakna mereka terpaksa berulang-alik dari Sarikei ke Tanjung Jerijeh beberapa kali sehingga tiada tanda-tanda mayat ditemui lagi. Ini berlangsung hampir seminggu.




Sementara itu, mayat-mayat yang dibawa ke Sarikei. Dihimpunkan di padang Dewan Suarah Sarikei buat sementara untuk sesi pengecaman & tuntutan ahli keluarga. Bayangkan, ratusan mayat disusun di padang yang besar. Ada mayat yang sudah kembung kerana terlalu lama terendam dalam air laut, ada yang tiada rupa manusia lagi, mata terbonjol seperti udang, kulit, jari-jemari hilang dimakan ikan. 

Menggunakan helikopter untuk mengangkut mayat, bukanlah satu pengalaman yang agak menyenangkan. Helikopter terpaksa melalui kawasan perumahan di Sarikei. Air mayat yang menitik-nitik dari jaring ikan, ada yang terkena bumbung rumah penduduk. Sehingga ada yang terdengar suara tangisan & jeritan manusia pada waktu malamnya selama beberapa hari. Ada juga yang tercium bau kemenyan & setanggi. Macam-macam versi cerita yang kedengaran.

Mangsa-mangsa terpaksa dikebumikan dalam satu liang-lahad, atas faktor mayat sudah mula mereput dan sukar untuk dikenal-pasti identiti, jantina, agamanya dan statusnya. Sebuah Memorial juga dibina untuk mengingati Tragedi Pulau Kidjang ini di Sarikei. Ada juga sebuah keluarga besar yang maut tanpa meninggalkan waris dan keturunannya lagi di dunia ini. Lenyap begitu saja.

Sebelum kejadian, berlaku sesuatu yang amat aneh. Di Perlabuhan Kuching, beberapa jam sebelum MV Pulau kidjang bertolak. Banyak orang menyaksikan ratusan ekor tikus berlari-lari melompat keluar dari MV Pulau Kidjang terus ke daratan, namun kebanyakan dari penumpang langsung tak menyedari & mengendahkan peristiwa aneh itu. Kerana berpusu-pusu untuk masuk ke dalam kapal. Adakah ini tanda-tanda yang tikus-tikus itu tahu apa yang akan berlaku? Wallahualam.

Dipercayai, boyan yang menjadi panduan telah hanyut dalam ribut & hilang entah ke mana, menyebabkan kapten kapal & anak-anak kapal yang lain sukar untuk melihat rumah api dan mengemudi arah MV Pulau Kidjang dengan betul. Akibatnya, MV Pulau Kidjang terlanggar beting pasir dan seterusnya tengelam akibat kombinasi pukulan ombak besar, angin ribut (atau puting beliung dalam sesetengah versi) dan kesukaran bergerak akibat terperangkap di beting pasir.

Begitulah sedikit sebanyak dari apa yang saya tahu mengenai Tragedi Pulau Kidjang yang kekal menjadi sejarah tragedi maritim terburuk di Sarawak.

Apa yang terjadi sudah ditentukan Allah SWT. Yang yang hidup, meneruskan kehidupan mereka dengan seribu kenangan pahit. Dan ngeri. Manakala bagi yang telah tiada, sama-sama kita sedekahkan doa dan Al-Fatihah. Semoga roh-roh mereka tenang di sana. Amin Yarobbal Alamin.





Comments

  1. Pernah baca buku "Tenggelamnya Pulau Kidjang"? More info tragedi di dalamnya.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts